Kolej Profesional MARA Beranang ditubuhkan pada Mei 1977 dan dikenali sebagai Institut Perdagangan MARA (IPM). Penubuhan ini mengikuti arahan Majlis Tindakan Nasional pada bulan Jun 1975 dan keputusan yang dibuat oleh Majlis MARA untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-3. Sejak ditubuhkan hingga akhir Julai 1982, IPM telah bertempat di Tingkat 2 Bangunan Sing Heo Motor, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Kumpulan pertama hanya mempunyai 4 orang tenaga pengajar dan 100 orang pelajar.
Dari Ogos 1982, IPM berpindah ke bangunan baru di Bandar Tun Razak, Cheras. Di bangunan baru itu, IPM dapat menyediakan kemudahan asrama untuk 400 pelajarnya. IPM diletakkan di bawah pengurusan Bahagian Pendidikan Menengah MARA tetapi pada tahun 1984, Cawangan Pendidikan Komersial MARA ditubuhkan untuk mengambil alih peranan Bahagian Pendidikan Menengah MARA.
Pada tahun 1987, setelah penempatan semula pusat pentadbiran MARA ke Bangunan MARA yang baru, IPM dipindahkan ke Bangunan MARA ketika itu di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Kemudian, pada 15 Februari 1993, IPM berpindah ke Wisma Sachdev (Akademik) dan Wisma Thakurdas (Pentadbiran) yang terletak di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Akhirnya, pada 1 Jun 1998, IPM berpindah ke kampus tetapnya yang terletak di Lot 2333, Jalan Kajang/Seremban, 43700 Beranang, Selangor dan sejak itu dikenali sebagai Kolej Profesional MARA Beranang.